arena

TSG belum ada perancangan

Oleh Malik Muhamad

PASUKAN lumba basikal bertaraf benua, Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) belum memuktamadkan lagi jelajah perlumbaan yang bakal disertai memandangkan dunia masih lagi berdepan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun barisan pelumba pasukan berpangkalan di Terengganu itu yang diketuai Mohd Zamri Saleh sudah memulakan kayuhan sejak hari raya ketiga lagi di sekitar zon hijau.

Ketua Pegawai Operasinya, Nasiruddin Wan Idrus berkata, setakat ini TSG yang berada di tangga kedua Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), belum lagi memutuskan jelajah perlumbaan yang bakal disertai demi keselamatan pelumbanya.

"Dalam masa tiga bulan ini belum ada perlumbaan yang betul-betul sah kita sertai memandangkan dunia masih lagi berdepan pandemik itu, tapi pelumba kita sudah menjalani latihan di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Berang dan Setiu.

"Dalam masa sama dua pelumba elit TSG iaitu Wan Abdul Rahman Hamdan dan Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrulfadli Sham yang bakal menyarung jersi pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu turut menjalani latihan.

"Begitu juga dengan empat pelatih skuad Akademi TSG yang bakal menyarung jersi Sukma negeri iaitu Muhammad Ariff Redzuan Zulkefli, Muhammad Nasrullah Zakaria, Zulfadli Iswadi Zainal dan Muhammad Fikri Majemin turut sama menjalani latihan.

"Selebihnya adalah pelumba elit tempatan manakala lapan pelumba import TSG kini berada di negara mereka masing-masing," kata Nasiruddin.

Sebelum ini TSG mengumumkan terpaksa menarik diri daripada menyertai lima jelajah akibat penularan wabak Covid-19 selepas mengambil kira semua faktor terutama kesihatan dan keselamatan pelumbanya.

Lima jelajah itu ialah BSB120 Brunei, Tour de Tochigi Jepun, GP Mediterannean Turkey, GP Justiniano Hotels Turkey dan Bieras A Serra da Estrela Portugal.

Musim ini TSG mempertaruhkan dua muka baharu iaitu Christofer Jurado dari Panama dan Carlos Quintero dari Colombia yang pernah mewakili pasukan Monzana Postoban, Colombia dan China Continental Team of Gansu Bank, China bagi memperkuat pasukan itu musim ini.

Turut berada dalam senarai pelumba pasukan itu selain kapten, Mohd Zamri Saleh ialah adiknya Mohd Harrif, Ovechkin Artem (Rusia), Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Muhamad Afiq Huznie Othman, Goh Choon Huat (Singapura), Irwandie Lakasek, Mohd Shahrul Mat Amin, Maral Erdene Batmunkh (Mongolia), Metkel Eyob Teweldeberhan (Eritrea), Drew Morey (Australia) dan Youcef Reguigui dari Algeria.

Disiarkan pada: May 30, 2020 @ 7:32pm
d