arena

EPL masuki 'zon hijau'

Oleh AFP

TIADA lagi yang dikesan positif dalam ujian terkini Covid-19 yang dilakukan dalam kalangan pemain dan staf Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ujian rambang kali keempat ini membabitkan 1,130 pemain dan staf, dengan tidak terdapat kes baru ini dapat memperkukuhkan lagi perancangan untuk penyambungan semula EPL pada 17 Jun.

"EPL hari ini mengesahkan ujian Covid-19 Khamis dan Jumaat lalu membabitkan 1,130 pemain dan staf. Hasilnya, tiada yang positif," jelas EPL dalam satu kenyataan.

Ini bermakna hanya 12 kes positif membabitkan 3,882 ujian ke atas pemain dan staf EPL yang mula dijalankan awal bulan lalu.

Sementara itu, kerajaan Britain, meluluskan untuk saingan sukan kompetitif domestik diadakan tanpa kehadiran penonton bermula esok.

Saingan utama profesional dihentikan sejak Mac lalu berikutan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, ketika kebanyakan negara masih lagi melakukan perintah berkurung, Setiausaha Media, Kebudayaan dan Sukan, Oliver Dowden berkata, kerajaan mahu menyambung kembali perkara normal dalam kehidupan masyarakat selepas beliau mengumumkan beberapa acara sukan dibenarkan diadakan semula.

"Selepas lebih dua bulan acara sukan dihentikan dan selepas beberapa minggu perbincangan menyeluruh bersama pakar perubatan dan profesional dalam badan sukan, saya di sini berbesar hati untuk mengumumkan hari ini bahawa kerajaan sudah mengeluarkan panduan membenarkan sukan kompetitif disambung semula tanpa kehadiran penonton bermula paling awal esok.

"Bola sepak, tenis, lumba kuda, Formula Satu (F1), kriket, golf, ragbi, snuker dan lain-lain semuanya bersedia untuk kembali ke kaca televisyen dalam masa terdekat," kata Dowden dalam sidang media.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 9:04am
d