arena

Bayern terus kekalkan jarak selamat

Oleh AFP

BAYERN Munich memiliki kelebihan 10 mata di puncak liga selepas membelasah pasukan yang sedang bergelut di zon penyingkiran Fortuna Dusseldorf 5-0 awal pagi tadi dan kemenangan itu dibantu dengan dua gol melalui penjaring terbanyak Bundesliga, Robert Lewandowski.

Pertahanan Dusseldorf, Mathias Joergensen menjaringkan gol sendiri di awal saingan, sebelum Benjamin Pavard menyumbat gol kedua, diikuti dengan jaringan berturut-turut oleh Lewandowski dan Alphonso Davies turut mencatat nama sebagai penjaring.

Ketika berbaki lima lagi perlawanan, Bayern, yang mencatat lapan kemenangan liga sebelum ini, berada di landasan terbaik untuk muncul juara buat kali kelapan berturut-turut.

Bagaimanapun, pasukan ditangga kedua, Borussia Dortmund mampu merapatkan jurang apabila bakal berdepan Paderborn (pasukan tercorot) awal pagi esok.

Beberapa rekod dapat dicatatkan dalam aksi awal pagi tadi dengan Lewandowski sudah menyumbat 43 gol dalam semua saingan, pencapaian terbaik sepanjang musim buat penyerang kelahiran Poland itu.

Jurulatih, Hansi Flick pula meraih kemenangan ke-22 dalam 25 perlawanan awal, mengetepikan rekod Pep Guardiola ketika kali pertama memimpin skuad berkenaan pada 2013.

"Statistik dan rekod tidak menarik perhatian saya, apa yang penting ialah kejayaan semusim.

"Di Bayern Munich, anda hanya menjangkakan kemenangan. Saya sangat gembira, kerana kami sangat agresif dan tidak memberikan mereka peluang," kata Flick dalam penampilan pertamanya musim ini menggantikan Niko Kovac November lalu.

Sementara itu, Werder Bremen cuba untuk meningkatkan harapan mereka kekal di Bundesliga selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Schalke.

Hertha Berlin pula kekal tanpa kalah selepas Bruno Labbadia mengambil alih pasukan berkenaan sejak perintah berkurung apabila mengalahkan Augsburg 2-0.

Hoffenheim yang berada di tangga ketujuh berjaya mengalahkan Mainz 1-0 hasil jaringan tunggal Ihlas Bebou pada minit ke-43.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 9:44am
d