arena

Sedia terima atlet dengan peraturan ketat

Oleh Aida Adilah Mat

DUA pusat latihan yang akan mula beroperasi esok iaitu Akademi badminton Malaysia (ABM) dan Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima atlet.

Menerusi pemantauan yang dibuat oleh Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin, beliau amat berpuas hati dengan persediaan yang dilakukan, termasuklah proses nyahkuman di dua pusat berkenaan.

Proses nyahkuman itu turut di lakukan di MSN selepas di kosongkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang digunakan sebelum ini.

"MSN sangat berpuas hati dengan proses yang di lakukan. Dua lokasi pusat latihan berkenaan sudah bersedia untuk menerima atlet.

"Manakala Casa Satu akan dibuka kepada atlet 8 Jun ini apabila selesai penambahbaikkan pembersihan," katanya.

Tegas Jefri, atlet yang akan memasuki pusat latihan berkenaan akan menjalani ujian Covid-19 sebanyak tiga kali yang mana ia akan dilakukan pada hari pertama mereka melapor diri dan kemudian akan dikuarantin selamat dua hari.

Selepas ujian pertama didapati negatif, atlet akan dibenarkan turun menjalani latihan dan ujian ketiga akan dilakukan pada hari ke-13 mereka di pusat latihan berkenaan.

Proses memeriksa suhu akan dilakukan sebanyak dua kali iaitu ketika sarapan pagi dan pada waktu makan malam.

"Setiap atlet akan dibekalkan dengan topeng penutup muka dan cecair pembersih kuman.

"Atlet juga perlu membersihkan alatan yang digunakan ketika latihan dengan menggunakan cecair pembersih kuman yang dibekalkan kepada mereka.

"Bukan hanya di ABM di semua pusat latihan akan dibekalkan peralatan yang sama untuk kegunaan atlet yang terbabit," katanya.

Disiarkan pada: May 31, 2020 @ 6:28pm
d