arena

Lopez himpit masalah Kelantan

Oleh Syazwan Msar

BELUM lagi selesai kes membabitkan tunggakan gaji bekas pemain import, Cassio Francisco de Jesus, Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) diuji pula menerusi tuntutan seorang lagi bekas pemain import mereka, Bruno Lopez berjumlah RM141,103.60.

Difahamkan Kafa tidak hanya terikat dengan dua tuntutan berkenaan malah membabitkan lima kes yang masih dalam penelitian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk tindakan lanjut.

Kafa berdepan masalah lebih besar dengan perlu menyelesaikan tunggakan gaji semua pemain import berkenaan berjumlah hampir RM2 juta.

Setiausaha Agung Kafa Hussin Deraman ketika dihubungi mengesahkan perkara terbabit dan setakat ini menerima dua tuntutan tunggakan gaji daripada Cassio dan Bruno.

Beliau berkata, lima bekas pemain import mereka masih lagi belum diketahui keputusan namun memaklumkan mungkin akan dikenakan tindakan sama iaitu perlu membayar tunggakan terbabit.

"Kafa memang berdepan dengan sekurang-kurangnya enam kes Fifa kerana seperti sedia maklum semua bekas pemain import terbabit mahu membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi.

"Sekarang ini apa yang boleh kita lakukan hanya menunggu tuntutan daripada semua pemain terbabit yang dikenal pasti berjumlah hampir RM2 juta.

"Jika gagal membuat pembayaran, Kelantan berhadapan dengan situasi lebih bahaya dengan kedudukan kewangan semakin meruncing kemungkinan sukar untuk menyelesaikan pembayaran terbabit," katanya.

Disiarkan pada: June 1, 2020 @ 7:15pm
d