arena

Mina sambung rehat beberapa minggu lagi

Oleh AFP

PEMAIN pertahanan Everton, Yerry Mina dijangka tersisih aksi permulaan kembali saingan Liga Perdana Inggeris selepas mengalami kecederaan pada otot paha umum kelab itu.

Mina, 25, mengalami kecederaan itu ketika menjalani latihan minggu lalu dan imbasan mengesahkan bek tengah Colombia itu terpaksa direhatkan beberapa minggu.

Liga Perdana dijangka bersambung pada 17 Jun ini selepas ditangguhkan sejak Mac kerana pandemik Covid-19.

"Kelab Bola Sepak Everton mengesahkan Yerry Mina akan direhatkan beberapa minggu selepas mengalami kecederaan otot.

"Pemeriksaan imbasan mengesahkan pemain Colombia itu mengalami kecederaan otot paha kirinya ketika berlatih minggu lalu.

"Pemain berusia 25 tahun itu kini di peringkat awal pemulihan di bawah pemantauan pegawai perubatan kelab dan menunjukkan kemajuan," menurut kenyataan kelab itu.

Mina turut mengalami kecederaan musim lalu ketika memulakan kempen sulungnya di Everton selepas berpindah dari Barcelona.

Kecederaan Mina itu hadir hanya beberapa hari selepas pemain tengah Everton Jean-Philippe Gbamin berdepan kecederaan tumit belakang serius.

Gbamin akan menjalani pembedahan minggu ini dan kelab menjangkakan pemain Ivory Coast itu bakal mengharungi tempoh pemulihan agak lama.

Everton akan berdepan pendahulu liga Liverpool pada perlawanan pertama mereka apabila saingan bersambung.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 9:18am
d