arena

Terkilan MPFL batal

Oleh Malik Muhamad

PENGENDALI pasukan futsal Terengganu, Mohd Rozairi Ahmad meluahkan rasa terkilan selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL) musim ini.

Beliau turut menyelami barisan pemainnya yang turut kecewa dengan keputusan badan induk bola sepak negara itu yang membatalkan kejohanan edisi kedua berkenaan.

Bagaimanapun beliau percaya keputusan berat yang diambil FAM itu sudah pasti mengambil kira semua aspek termasuk soal keselamatan dan kesihatan pemain serta pegawai sekiranya kejohanan itu berlangsung ketika negara masih lagi berdepan penularan wabak Covid-19.

"Daripada satu sudut memang saya kecewa dan terkilan dengan keputusan FAM itu yang membatalkan kejohanan, begitu juga dengan anak buah saya yang boleh dikatakan pada setiap hari menanti dengan penuh sabar berita gembira berkaitan tarikh baharu kejohanan.

"Ini kerana ada enam pemain yang pertama kali menyarung jersi pasukan musim ini, hal ini membuatkan mereka begitu teruja untuk beraksi membantu pasukan meraih sekurang-kurangnya tiga kelompok teratas liga sebagaimana musim lalu.

"Lagipun sebelum ini FAM ada menyuarakan bakal mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menyambung semula liga sebagaimana Liga Malaysia (Liga M) dan keadaan ini sudah pasti melegakan semua lebih-lebih lagi kejohanan ini berlangsung di dalam dewan dengan hanya lima pemain beraksi bagi sebuah pasukan.

"Namun dengan perkembangan terkini itu kami perlu terima hakikat soal keselamatan semua perlu menjadi keutamaan, situasi ini juga saya sudah maklumkan kepada pemain," ujar Rozairi.

Mengenai gaji pemain dan pihak pengurusan pasukan pula, Rozairi menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) selaku badan induk negeri untuk memutuskannya.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 1:00pm
d