arena

Semua negatif Covid-19 di Langkawi

Oleh Saiful Affendy Sapran

BERITA baik kepada 24 individu di Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi untuk program Road To Tokyo (RTT) apabila keputusan ujian Covid-19 kesemua mereka negatif. Jumlah itu membabitkan atlet, jurulatih, atlet sepelatih, pengurus pasukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan yang melapor diri bermula 1 Jun lalu.

"Berdasarkan keputusan diperolehi daripada makmal perubatan BP Healthcare hari ini, sukacita dimaklumkan keputusan ujian Covid-19 untuk Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan Langkawi membabitkan 24 orang adalah negatif.

"Sebagai makluman juga semua atlet badminton di Pusat latihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) sudah memulakan latihan pada sesi pagi hari ini dan bagi sukan pelayaran pula akan memulakan latihan pada 4 Jun (esok).

"Semua sesi latihan melibatkan kedua–dua pusat latihan ini akan mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang disediakan.

"Ia perlu dipatuhi semua atlet, jurulatih dan pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam satu kenyataan.

MSN sebelum ini mengesahkan keputusan ujian Covid-19 membabitkan seramai 38 individu iaitu atlet, jurulatih, atlet sepelatih, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan di ABM adalah negatif.

Satu lagi pusat latihan di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil akan bermula 8 Jun ini selepas Casa 1 yang akan digunakan sebagai penginapan rasmi perlu menjalani proses nyahkuman.

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 6:07pm
d