arena

Pafa hulur RM15,000 buat Ahmad Sofian

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PERSATUAN Bolasepak Perak (Pafa) tampil menghulurkan sumbangan RM15,000 kepada bekas pemain bola sepak negeri itu dan penjaga gol hoki kebangsaan, Ahmad Sofian Zulkifli yang akan menjalani pembedahan bagi memasang implan pada jantungnya.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di laman Facebook rasmi Menteri Besar Perak yang juga Presiden Pafa, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, khabar gembira itu disampaikan Ahmad Faizal kepada Ahmad Sofian ketika menziarahinya di sebuah hospital swasta di Ipoh, hari ini.

Menurut kenyataan itu, sumbangan berkenaan untuk membantu Ahmad Sofian yang memerlukan dana RM70,000 bagi memasang implan berkenaan.

"PAFA akan menyumbang RM15,000 bagi menampung sebahagian daripada kos pembelian alat implan berkenaan.

"Turut dinyatakan komitmen kerajaan negeri Perak untuk menyalurkan bantuan susulan yang diperlukan," katanya.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed.

Sementara itu, Ahmad Sofian dan isteri, Hamizah Osman merakamkan penghargaan buat Pafa dan semua pihak yang prihatin dengan nasibnya termasuk Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).

Disiarkan pada: June 3, 2020 @ 10:05pm
d