arena

Semangat Jackie luar biasa

Oleh Aida Adilah Mat

BIARPUN masih lagi dalam perintah kuarantin di rumah, semangat atlet baling tukul besi negara Jackie Wong tidak pernah luntur dengan tetap terus menjalani latihan seperti kebiasaannya.

Atlet berusia 28 tahun itu memang dikenali dengan sikap yang cukup bersemangat dan ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil yakin anak buahnya itu mampu untuk kembali ke puncak prestasinya seperti sebelum ini.

Manshahar berkata, beliau sentiasa berhubung dengan Jackie untuk mengetahui keadaan terkini atlet itu dengan ketika ini semuanya dalam keadaan baik.

"Jackie memang seorang atlet yang bermotivasi tinggi. Memang kita sedia maklum bahawa ketika berada di hospital pun dia tetap menjalani latihan untuk kekal cergas.

"Saya yakin jika dia dapat kembali berlatih bersama rakan sepelatih dan jurulatih, itu sebenarnya lebih baik untuk dia.

"Saya harap Jackie akan terus kekalkan semangat itu dan kita doakan dia terus kekal bermotivasi pada masa akan datang," katanya.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu yang dimasukkan ke wad pada awal pagi 16 Mac lalu dan dibenarkan keluar dari Hospital Sibu, Sarawak 27 Mei lalu dilaporkan berkata, dia berada dalam keadaan stabil serta sihat dari segi mental dan fizikal sepanjang tempoh 73 hari menerima rawatan.

Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan balingan sejauh 68.22 meter dan meraih pengiktirafan tersendiri apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 17 kali.

Dia dijangkiti virus itu ketika melawat bapanya, Andrew Wong Ling Biu di Sarikei pada 11 Mac lalu dengan Ahli Parlimen Sarikei itu dipercayai menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.

Wong masih berada di Hospital Sibu dan dijangka keluar hospital minggu hadapan.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 5:56pm
d