arena

Hockademy tak profesional

Oleh Aida Adilah Mat

TINDAKAN dilakukan Hockademy yang sengaja menimbulkan kekecohan berhubung isu pembayaran wang kemenangan dianggap tidak profesional dan mencemarkan imej sukan hoki tanah air.

Ia seperti ada niat tersembunyi yang ingin dibangkitkan apabila dengan sengaja membangkit isu berhubung wang kemenangan berulang kali biarpun Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sudah menjelaskan isu berbangkit itu dengan menghantar surat rasmi bertarikh 28 Mei kepada semua pasukan yang terbabit dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM).

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beliau akan membawa isu Hockademy yang melemparkan tuduhan liar itu dalam mesyuarat Lembaga Eksekutif pada pertengahan Jun ini untuk dibincangkan.

"Isu berhubung hadiah wang kemenangan ini sudah dijelaskan kepada semua pihak menerusi surat yang dihantar. Saya terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Hockademy.

"Dalam surat yang dihantar sudah dimaklumkan bahawa pembayaran wang kemenangan akan dibayar selepas mesyuarat eksekutif yang akan bersidang pertengahan Jun ini.

"Selepas mendapat kelulusan daripada lembaga eksekutif pembayaran akan dilangsaikan kepada pasukan yang terbabit.

"Soal dia tak tahu itu adalah perkara yang tidak betul. Mereka patut tahu bahawa MHC ada prosedur yang perlu diikut. Masalah Covid-19 yang melanda negara ini menyebabkan mesyuarat exco tidak dapat dilakukan dan itu bukan alasan tapi itulah hakiki yang sebenar yang perlu difahami," katanya.

Jelas Subahan, Hockademy seharusnya mengambil contoh sikap Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) yang memahami situasi semasa MHC.

"Saya berterima kasih kepada pasukan seperti THT. Mereka ini sudah lama terbabit dalam LHM dan faham akan situasi dan surat yang dihantar.

"Ikutlah THT atas semangat kesukanan yang ditunjukkan mereka dan memahami keadaan semasa yang dialami oleh MHC," katanya.

Disiarkan pada: June 4, 2020 @ 10:07pm
d