arena

Nadal utama keselamatan

Oleh AFP

RAFAEL Nadal menegaskan saingan tenis tidak boleh bersambung semula sehingga situasi ketika ini benar-benar selamat dan jika Terbuka AS diadakan minggu ini, dia tidak akan mengambil bahagian.

Pemain nombor dua dunia, Nadal yang melakar empat kejuaraan Terbuka AS dan 19 kejuaraan utama di New York tahun lepas berkata pandemik Covid-19 masih menimbulkan keraguan dalam kalendar penganjuran acara tenis yang ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu.

"Kita tidak dapat menyambungkan semula sehingga situasi benar-benar selamat dan adil kepada aspek kesihatan membabit semua pemain, dari mana mereka datang, dapat melakukan perjalanan dan beraksi pada kejohanan dalam keadaan selamat," kata Nadal kepada wartawan dalam panggilan sidang video.

"Jika kamu menyuruh saya beraksi di Terbuka AS (yang dijadualkan undian utama bermula pada 31 Ogos) hari ini, saya akan katakan 'tidak'.

"Dalam beberapa bulan lagi, saya tidak tahu. Saya berharap begitu. Kita harus tunggu untuk masyarakat kembali pada kehidupan normal. Dan apabila ia berlaku, tunggu dan lihat bagaimana pembabitan virus berkenaan.

"Sangat sukar bagi saya untuk mengasingkan apa yang dunia alami dari pandangan saya membabitkan tenis, disebabkan itu saya terbawa-bawa dengan perasaan beberapa minggu lalu."

Jadual ATP dan WTA dibekukan sejak Mac lalu dengan aksi penyambungan semula belum lagi ditetapkan sekurang-kurangnya paling hampir pada hujung Julai ini.

Wimbledon dibatalkan pertama kali sejak Perang Dunia Kedua sementara Terbuka Perancis dipinda dari Mei/Jun ke September/Oktober.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 9:01am
d