arena

EPL setuju tukar lima pemain simpanan

Oleh AFP

PENGURUS boleh menukar lima pemain bagi baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 musim ini selepas pasukan bersetuju dengan perubahan sementara peraturan itu.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengeluarkan cadangan terbabit bulan lalu bagi 'melindungi kebajikan pemain' yang bakal berdepan jadual padat selepas aksi ditangguhkan lebih tiga bulan sebelum ini berikutan pandemik Covid-19.

Kelab EPL juga bersetuju untuk menambah bilangan pemain gantian daripada tujuh kepada sembilan pemain bagi meneruskan aksi musim ini.

"Untuk baki aksi musim 2019/20, jumlah pemain gantian yang boleh digunakan dalam perlawanan akan ditambah daripada tiga kepada lima pemain," kata EPL dalam satu kenyataan.

"Pemegang taruh juga bersetuju menambah jumlah maksimum pemain di bangku simpanan daripada tujuh kepada sembilan pemain bagi baki musim 2019/20."

Bagaimanapun, bagi mengelakkan perlawanan terlalu banyak dihentikan, setiap pasukan hanya dibenarkan melakukan tiga kali pertukaran dan juga pertukaran ketika rehat separuh masa.

Aksi Liga Perdana disambung kembali dengan dua perlawanan pada 17 Jun ketika Manchester City melayan kunjungan Arsenal dan Sheffield United berkunjung ke Aston Villa.

Baki sembilan perlawanan di jadual dapat dilengkapkan dalam masa lima minggu.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 11:37am
d