arena

Yaya Toure warnai Liga-M?

Oleh Firdaus Hashim

ADAKAH Liga Malaysia (Liga-M) bakal menjadi destinasi buat bekas bintang Manchester City, Yaya Toure musim depan?

Itu spekulasi yang sedang bertiup kencang dan berlegar-legar dalam kalangan peminat bola sepak Asia Tenggara selepas pemenang empat kali Anugerah Pemain Afrika Terbaik Tahunan itu menyatakan hasrat untuk beraksi di rantau ini.

Walaupun tidak menyatakan secara spesifik kelab dari negara mana yang akan Toure sertai, namun pengakuannya untuk berhijrah ke rantau ini bukan lagi rahsia.

Menerusi laporan media antarabangsa oleh CEO agensi Harcus Consultancy Group, Richard Harcus mengesahkan Toure sangat berminat untuk menimba pengalaman beraksi di negara Asia Tenggara seperti Thailand, Malaysia, Vietnam dan Indonesia.

"Saya ingin bercakap dengan semua orang di sini, kami gembira dapat bekerjasama dengan Yaya Toure untuk rantau Asean (Asia Tenggara) dan membantu rakan-rakannya yang lain, di mana kami boleh memastikan khidmatnya terus diperlukan.

"Bukan rahsia lagi Yaya Toure adalah legenda dalam bola sepak dunia dan mempunyai ramai peminat di seluruh dunia.

"Kami berharap dapat membantu mengembangkan bakatnya di rantau Asean baik di dalam mahupun di luar padang," Harcus yang dilantik oleh Yaya Toure untuk menguruskan kariernya di rantau ini.

Selain Manchester City, Toure turut pernah beraksi dengan kelab Barcelona dan AS Monaco sebelum berhijrah ke Asia dengan menyertai kelab China, Qingdao Huanghai pada musim lalu.

Sepanjang beraksi dengan Qingdao Huanghai, Toure hanya menjaringkan dua gol dalam 14 penampilan.

"Dia baru sahaja menamatkan kontraknya di China dan kami lebih suka mengekalkannya di sini dengan membantu menjadikannya sebuah kelab di mana peminat Asia dapat terus menonton aksinya," kata Harcus lagi.

Difahamkan, selain dikaitkan dengan beraksi di Liga-M, pemain kebangsaan Ivory Coast itu dikatakan kemungkinan menyertai Liga Indonesia atau Liga Thailand.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 4:35pm
d