arena

Safawi rindu 'hantui' benteng lawan

Oleh Firdaus Hashim

PENYERANG kebangsaan, Safawi Rasid mengakui sudah tidak sabar turun ke padang selepas hampir tiga bulan sekadar menjalani latihan secara individu di rumah ekoran pandemik Covid-19.

Menerusi luahan di laman Instagram miliknya, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu memuat naik dua gambar ketika sedang menjalani latihan bersama JDT dan aksinya dengan skuad Harimau Malaya.

Malah, pemenang Pemain Paling Bernilai dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) bagi dua musim berturut-turut iaitu 2018 dan 2019 itu menyatakan dia amat merindui sukan yang paling diminatinya itu.

"Rindu tiada ubat", katanya sambil meletakkan simbol bola dan berlari untuk menggambarkan betapa terujanya pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu beraksi semula.

Luahan itu kemudian disambut peminat serta rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan yang juga penyerang kelab divisyen 2 Liga Jepun Fagiano Okayama, Hadi Fayyadh Abdul Razak.

Hadi yang ketika ini masih berada di Jepun membalas dengan memberi kata-kata semangat 'sikit lagi' kepada Safawi dengan simbol tangan dan api.

Peminatnya pula rata-rata mengakui merindui aksinya di atas padang lebih-lebih sepakan padu kaki kiri yang sering menghasilkan jaringan sama ada buat JDT mahupun pasukan negara.

Saingan Liga Malaysia dijangka akan disambung kembali bermula September ini manakala latihan pusat skuad kebangsaan pula dirancang pada awal Oktober bagi membolehkan anak buah Tan Cheng Hoe melakukan persiapan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) 8 Oktober dan Vietnam lima hari kemudian.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 5:40pm
d