arena

Penthouse Federer RM70 juta

Oleh Agensi

ROGER Federer, 38, muncul atlet berpendapatan paling tinggi di dunia mengatasi Cristiano Ronaldo, menurut Forbes.

Minggu lalu, mereka melaporkan juara lapan kali Wimbledon itu meraih £81 juta (RM436 juta) setahun, kebanyakannya menerusi penajaan dan periklanan.

Dan dia tidak teragak-agak melaburkan sebahagian wang dengan membeli harta termasuk pembelian apartmen mewah berharga £13 juta (RM70 juta) di Dubai.

Pada musim sejuk, legenda tenis Switzerland itu lebih banyak menghabiskan masa sekeluarga di 'istananya' itu.

Semuanya bermula pada 2014 apabila Federer menyedari dia perlu mempunyai kediaman sendiri di Dubai dan dia memilih penthouse mewah di Le Reve.

Dikenali sebagai menara paling eksklusif di Dubai, bangunan itu menghadap marina yang dipenuhi kapal layar bernilai ratusan juta ringgit.

Bekas bintang Formula Satu, Fernando Alonso turut dikatakan memiliki apartmen berkeluasan 689 kaki persegi di bangunan 50 tingkat yang mempunyai pemandangan indah lautan, Burj Al Arab dan Palm Jumeirah.

"Saya ingat lagi, ia sangat panas, mungkin 39 darjah Celsius setiap hari. Tetapi saya mempunyai masa latihan yang baik, aman dan sunyi. Kami menikmatinya di sini ," kata Federer sebelum ini.

"Saya seperti, 'Anda tahu, saya fikir ia sangat sesuai untuk latihan dan berehat. Selanjutnya apa yang saya tahu, saya memiliki apartmen."

Penthouse menakjubkan Federer yang berkeluasan 6,100 kaki persegi itu mempunyai lima bilik tidur yang setiap satu mempunyai bilik air sendiri.

Sistem hiburan moden termasuk pencahayaan, suhu dan butang kawalan multimedia yang boleh dikawal dari setiap bilik.

Balkoni persendirian berkeluasan 870 kaki persegi menawarkan pemandingan memukau lautan dan marina Dubai.

Jika Federer dan keluarganya bosan di rumah, terdapat beberapa kemudahan lain di menara itu yang boleh dimanfaatkannya dan mereka tak perlu khuatir dengan peminat fanatik kerana Le Reve menawarkan khidmat pasukan keselamatan untuk tetamu VVIP mereka.

Terdapat juga kolam mandi di atas bumbung yang boleh diselaraskan suhunya selain gimnasium yang memiliki sentuhan reka bentuk Federer.

Tetapi mungkin kemudahan paling menarik ialah khidmat 24 jam dari segi layanan persendirian, limosin, tempahan Ferrari dan helikopter atau jet peribadi yang semuanya boleh didapati dengan menekan butang.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 7:23pm
d