arena

Kerajaan negeri akui terlepas pandang jasa Aiman

Oleh Malik Muhamad

KERAJAAN negeri akan mempertimbangkan bentuk ganjaran bakal diberikan kepada Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff yang menggegarkan pentas Le Tour de Langkawi (LTdL) pada Februari lalu selaku raja bukit pertama negara dalam sejarah perlumbaan paling berprestij itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan tidak akan sesekali melupakan atlet negeri yang pernah mengharumkan negara dalam apa jenis sukan.

Katanya, kerajaan negeri tetap memberi perhatian kepada atlet berkenaan sekali gus mampu memberi motivasi untuk terus meraih kejayaan lebih membanggakan pada masa akan datang.

"Kerajaan negeri akan berbincang terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan bentuk ganjaran kepada pelumba muda dari Setiu itu yang berjaya merangkul jersi merah dalam perlumbaan berprestij negara itu.

"Dalam masa sama kita harap Aiman bersabar dan teruskan latihan serta menyertai kejohanan seperti biasa selepas negara kembali pulih daripada penularan wabak pandemik Covid-19 ini," ujar Wan Sukairi yang mengharapkan pelumba itu tidak cepat patah semangat.

Ketika ditanya tempoh yang lama diambil kerajaan negeri untuk memutuskan bentuk ganjaran itu, Wan Sukairi akui beliau terlepas pandang kerana pelumba berpotensi itu mewakili kelab Sapura Cycling Team (TSC).

"Kita terlepas pandang sebab pelumba itu mewakili kelab TSC dan dia pun tidak menghubungi kita, lagipun dia pelumba kelahiran Terengganu.

"Seperti pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG), kita sudahpun meraikan dan menyambut kepulangan mereka di Kuala Terengganu sebaik berakhir kejohanan itu di Langkawi Februari lalu," ujar Wan Sukairi yang mengharapkan pelumba itu berhubung dengan kerajaan negeri selepas ini.

Semalam pelumba berusia 23 tahun itu menyuarakan rasa terkilan selepas kudratnya bagaikan tidak dihargai kerajaan negeri kerana masih belum mendapat ganjaran atau insentif selepas hampir empat bulan bergelar raja bukit.

Anak peniaga pasar malam itu kecewa kerana sebelum ini dua pelumba kelahiran Terengganu iaitu Anuar Manan yang merangkul raja pecut pada 2010 ketika mewakili kelab dari Korea Selatan, Geumsan Ginseng Asia dan pelumba TSG, Muhamad Adiq Husainie Othman yang meraih gelaran pelumba terbaik Asia dalam LTdL 2016 masing-masing menerima satu lot tanah dan wang tunai RM10,000 daripada kerajaan negeri.

Februari lalu, Aiman muncul pelumba kebangsaan pertama bergelar raja bukit di pentas LTdL selepas negara menanti sejak 24 tahun lalu bermula edisi sulung pada 1996.

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 8:16pm
d