arena

Ronaldo bilionair pertama bola sepak

Oleh Agensi

CRISTIANO Ronaldo muncul pemain bola sepak pertama dalam sejarah bergelar bilionair mengatasi musuh ketatnya dari Barcelona, Lionel Messi yang dijangka mengikut jejak langkahnya tahun depan.

Superstar Juventus berusia 35 tahun itu muncul atlet sukan ketiga mencapai tahap itu selepas Tiger Woods dan Floyd Mayweather Jr, menurut Forbes.

Ronaldo mengaut £85 juta (RM460 juta) tahun lalu hasil gaji dan penajaan membolehkannya bergelar bilionair sepanjang pembabitannya dalam bola sepak.

Bagaimanapun, pendapatan tahunannya merosot sembilan peratus selepas dia bersetuju dengan pemotongan gaji sebanyak £3.5 juta (RM18.93 juta) susulan wabak koronavirus.

Tetapi ia tetap mencukupi buat Ronaldo mencapai $1 bilion (RM4.2 bilion) mengatasi pendapatan Messi.

Bekas bintang Manchester United dan Real Madrid itu mengaut lebih £500 juta (RM2.7 bilion) menerusi gajinya sahaja sepanjang kariernya.

Jumlah itu dijangka melepasi £600 juta (RM3.24 bilion) menjelang kontraknya tamat di Juventus pada penghujung musim 2021-22.

Ronaldo turut memperolehi £36 juta setahun (RM194 juta) menerusi penajaan termasuk kerjasama dengan Nike yang mengikat kontrak seumur hidup dengan bintang Portugal itu.

Selain itu, Ronaldo turut mempunyai syarikat sendiri, CR7 dan menjadi bintang sukan mempunyai paling ramai 'follower' di Facebook dan Instagram.

Dia yang mempunyai 222 juta 'follower' di Instagram, meraih pendapatan £41.7 juta (RM223 juta) daripada 43 'post' berkaitan penajaan sejak 12 bulan lalu.

Sementara itu Messi yang tiga tahun muda dari Ronaldo dijangka mencapai angka $1 bilion (RM4.2 bilion) tahun depan.

Bintang Barcelona itu mengaut £84 juta (RM454 juta) tahun lalu menerusi gaji dan penajaan termasuk dengan Pepsi dan Adidas.

Bagaimanapun, sama ada Messi dan Ronaldo gagal menandingi legenda tenis Switzerland, Roger Federer yang muncul atlet paling kaya tahun ini selepas meraih £86 juta (RM465 juta).

Disiarkan pada: June 5, 2020 @ 10:22pm
d