arena

Rayuan Roslin

Oleh Ferzalfie Fauzi

SEPERTI kain kasa di atas duri. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan dilema pemilik akademi badminton swasta yang rata-ratanya adalah bekas pemain kebangsaan.

Pandemik Covid-19 jelas memberi kesan kepada periuk nasi mereka dan setakat ini belum memperoleh lampu hijau daripada kerajaan untuk memulakan kembali aktiviti yang juga menjadi punca utama pendapatan.

Mewakili bekas pemain badminton negara dan juga pemilik akademi, Roslin Hashim tampil merayu mereka juga mendapat kelonggaran seperti industri lain dalam masa terdekat.

"Kebanyakan pemilik akademi hanya memperoleh pendapatan daripada melatih pemain dan juga menyewa gelanggang. Jadi sekarang ini mereka termasuk saya sendiri terhimpit akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)," kata Roslin.

Beliau yang dihubungi Harian Metro semalam berkata, jika kelonggaran diberikan terutama kepada sukan berbentuk dalam dewan, mereka bersedia mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kami bersedia mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti pemain perlu mencuci tangan, nama didaftarkan, suhu badan diambil dan pakaian diletakkan dalam beg plastik selepas bermain.

"Sebelum pemain lain datang menggunakan gelanggang, proses sanitasi akan dilakukan, jadi kami bersedia untuk melakukan langkah berkenaan dan saya juga mewakili kepada pemilik dewan badminton," katanya.

Menurut bekas pemain nombor satu dunia itu, walaupun gelanggang badminton ditutup sepanjang tempoh PKP dan PKPB, rata-rata mereka perlu membayar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan membabitkan kos penyelenggaraan dan sewa tapak.

"Ia memang sangat membebankan dan kami pula tidak mempunyai persatuan seperti pengilang di mana mereka boleh menyampaikan rayuan serta sebagainya kepada pihak tertentu.

"Jadi saya harap kami juga diberi kelonggaran oleh kerajaan kerana sudah lebih tiga bulan tidak mampu melakukan aktiviti yang menjadi pendapatan.

"Untuk pengetahuan, rata-rata yang mempunyai akademi ataupun gelanggang adalah dalam kalangan bekas pemain kebangsaan seperti Ong Ewe Hock, Kuan Beng Hong, Zakry Latif," katanya.

Roslin berkata, tidak mustahil pemilik akademi ataupun dewan, bakal ataupun sudah gulung tikar disebabkan kesukaran untuk memperoleh pendapatan akibat pandemik berkenaan.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 6:00am
d