arena

MB baharu diharap selesai tunggakan gaji

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak khuatir terhadap isu tunggakan gaji yang masih berlarutan dalam skuadnya dan berharap masalah itu dapat diselesaikan segera oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terutama dengan bantuan kepemimpinan baharu kerajaan negeri.

Beliau yang kini berada di Singapura berkata, kerisauannya adalah kerana isu gaji masih tiada jawapan dan kini memberi kesan terhadap semangat dan moral pemainnya yang selama ini tertanya-tanya berkaitan isu berkenaan.

"Ya, secara jujur saya dan pasukan semakin risau memikirkan isu tunggakan gaji membabitkan skuad Lang Merah yang berlarutan, kami menantikan jawapan terhadap persoalan itu.

"Saya berharap dengan perubahan kepemimpinan tertinggi dalam KFA yang dijangka berlaku dalam masa terdekat ini, perkara (gaji) ini dapat diselesaikan dengan seberapa segera supaya semangat dan moral pemain dapat ditingkatkan kembali.

"Sebagai jurulatih skuad Lang Merah, saya juga perlu memastikan semangat semua pemain saya tidak terjejas dan jika isu gaji ini tidak diselesaikan segera, sukar bagi saya memainkan peranan yang terbaik dalam membentuk pasukan," katanya.

Aidil bagaimanapun melahirkan keyakinan terhadap kepemimpinan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam menyelesaikan isu gaji dan pada masa sama Aidil kini merancang untuk kembali ke Malaysia selepas menghantar permohonannya ke Kedutaan Malaysia di Singapura, kelmarin.

"Saya tetap yakin kepemimpinan baharu di Kedah mampu menyelesaikan isu tunggakan gaji ini dan kini saya sudah membuat permohonan untuk kembali ke Malaysia dan hanya menunggu untuk mendapat kelulusan berserta tarikh dibenarkan untuk menguruskan perjalanan.

"Saya juga tidak sabar mahu bersemuka dengan semua pemain bagi memastikan mereka semua berada dalam keadaan terbaik dan saya mahu pastikan mereka bersemangat untuk memulakan kembali latihan," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 6:01am
d