arena

'Kasihani kami'

Oleh Ferzalfie Fauzi

BEKAS pemain beregu lelaki negara, Tan Boon Heong mengakui pandemik Covid-19 memberi kesan teruk buat barisan jurulatihnya di Akademi Badminton TBH hingga beliau terpaksa mengeluarkan wang simpanan sendiri.

Menurut bekas pasangan nombor satu dunia itu, kelonggaran untuk memulakan semula aktiviti di akademi sangat dialu-alukan selepas mereka sudah menanggung sengsara.

"Memang patut diberi kelonggaran, sudah lama tidak ada latihan di akademi saya. Paling kasihan ialah barisan jurulatih yang tidak ada pendapatan," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Asia Doha 2006 itu berkata, walaupun tiada latihan di gelanggang, jurulatih perlu dibayar gaji kerana masih lagi menjalankan tugas melalui dalam talian.

"Saya menggunakan wang simpanan membayar gaji mereka kerana latihan dilakukan melalui dalam talian, walaupun hanya berbentuk latihan fizikal.

"Pendapatan akademi memang kosong, tapi kami juga harus memikirkan kesusahan jurulatih kerana ada yang bertugas sepenuh masa. Contohnya jurulatih dari Indonesia yang memerlukan wang untuk membayar bil telefon serta bayaran bulanan motosikal," katanya.

Arena Metro semalam melaporkan, bekas pemain perseorangan lelaki negara, Roslin Hashim yang mewakili pemilik akademi badminton seluruh negara merayu kerajaan memberi kebenaran kepada mereka beroperasi seperti biasa dalam kadar segera.

Pandemik Covid-19 jelas memberi kesan kepada periuk nasi mereka dan setakat ini belum memperoleh lampu hijau daripada kerajaan untuk memulakan kembali aktiviti yang juga menjadi punca utama pendapatan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican ketika dihubungi semalam berkata, kerajaan akan mempertimbangkan pembukaan fasiliti tertutup termasuk akademi badminton yang dikendalikan bekas pemain kebangsaan.

Menurutnya, satu pengumuman rasmi akan diadakan berkaitan dengan aktiviti sukan dan rekreasi.

"Akan ada pengumuman rasmi mengenai aktiviti sukan dan rekreasi yang dibenarkan atau yang dilarang dalam masa terdekat ini," katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Dijangka pengumuman mengenai aktiviti sukan dan rekreasi akan diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada jam 2 petang ini.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 6:01am
d