arena

Bagilah kelonggaran sedikit...

Oleh Syazwan Msar

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengharapkan pasukan Liga Malaysia (Liga M) diberikan sedikit kelonggaran untuk menjalani latihan dalam waktu terdekat ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah membentang SOP kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan pasukan Liga M kembali menjalani latihan.

"SOP yang dibentangkan ini adalah bagi sesi latihan Fasa 1 di mana antaranya tidak membabitkan sentuhan, latihan dalam skala kecil selain pemeriksaan suhu badan.

"Sekiranya kita mendapat kebenaran untuk mengadakan latihan Fasa 1, selepas itu barulah kita akan bentangkan cadangan untuk SOP latihan Fasa 2 pula.

"Tetapi sama ada kita boleh mulakan liga lebih awal kalau latihan dapat dijalankan awal, itu juga masih tertakluk kepada arahan kerajaan," katanya.

Sebelum itu, MFL memaklumkan perancangan mereka untuk pasukan memulakan sesi latihan pada Ogos dan saingan Liga M diteruskan pada September secara satu pusingan jika mendapat kebenaran kerajaan.

Dalam masa sama, pengumuman kerajaan yang tidak membenarkan pertandingan dengan kehadiran penyokong juga bukanlah satu isu jika saingan dapat diteruskan nanti.

"Berdasarkan kenyataan MFL sebelum ini pun, memang kita sudah ada SOP di mana setiap perlawanan akan diadakan tanpa penyokong," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 7:11pm
d