arena

Mesyuarat KFA bincang isu gaji?

Oleh Izzali Ismail

ISU berkaitan tunggakan gaji skuad Lang Merah dan calon presiden dijangka akan menjadi antara agenda utama dalam mesyuarat Majlis Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) yang akan berlangsung Selasa ini.

Perkara itu pasti dinantikan oleh pemain serta peminat bola sepak Kedah yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa termasuk berkaitan isu tunggakan gaji yang tertangguh sejak Februari lalu.

Menurut sumber, selain isu calon presiden, gaji pemain, pengurusan kewangan serta beberapa isu penting lain, pihak KFA juga akan membincangkan surat peletakan jawatan membabitkan kepimpinan KFA iaitu presiden, naib presiden 1 dan setiausaha kehormat.

"Ada banyak agenda akan dibincangkan pada mesyuarat majlis eksekutif termasuk menetapkan tarikh untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan luar biasa (EGM).

"Mesyuarat yang akan dihadiri kepimpinan KFA dan juga ahli eksekutif ini penting bagi tujuan membincangkan isu berbangkit ketika ini, di mana perkara atau isu berkenaan perlu diselesaikan dengan secepat mungkin." katanya.

Difahamkan selepas penerimaan surat peletakan jawatan dari presiden, naib presiden 1 dan setiausaha kehormat disahkan dalam mesyuarat itu nanti, maka satu tarikh untuk mengadakan EGM akan ditetapkan dalam tempoh terdekat.

Ini bagi membolehkan ahli gabungan KFA membuat pemilihan berkaitan menentukan calon presiden dan naib presiden 1 yang baharu manakala jawatan setiausaha kehormat pula akan dipilih oleh presiden.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 8:07pm
d