arena

Sokong liga sambung September

Oleh Malik Muhamad

KERAJAAN negeri menyambut baik cadangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menyambung kembali Liga Malaysia (Liga M) pada September ini yang tertangguh sejak 16 Mac lalu susulan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri tidak berdepan masalah untuk membenarkan sukan nombor satu itu disambung semula.

Bagaimanapun katanya, kebenaran itu tertakluk kepada arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan selain persetujuan Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) selaku badan induk bola sepak negeri.

"Kita menyokong cadangan MFL dan FAM untuk menyambung semula Liga M pada September depan walaupun setakat ini masih belum mendapat 'lampu hijau' daripada MKN dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Tapi perlulah mendapat kebenaran daripada MKN dan KKM terlebih dahulu dengan SOP yang ditetapkan bagi mengekang pandemik Covid-19 itu serta perbincangan dengan PBSNT bagi memastikan SOP yang ditetapkan kerajaan dapat dipatuhi semua pihak.

"Bagi peminat pula mereka harus bersabar dan perlu mengikut arahan daripada MKN. Jika dibenarkan, mereka boleh hadir ke stadium dan jika sebaliknya mereka perlu akur, tapi setakat ini pihak MKN masih tidak membenarkan permainan sukan yang melibatkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan termasuk bola sepak," katanya.

Hari ini melalui Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan hanya memberi kelonggaran kepada aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak membabitkan sentuhan dan perhimpunan ramai sepanjang tempoh PKPP, namun perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.

Antara jenis sukan dan rekreasi yang dibenarkan kerana tidak membabitkan sentuhan badan seperti boling, badminton, memanah dan menembak.

Turut dibenarkan aktiviti berkumpulan di luar seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal, namun beberapa aktiviti sukan yang membabitkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan masih tidak dibenarkan seperti renang, ragbi, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 8:32pm
d