arena

'Sambut kejayaan musim depan pun boleh' - Klopp

Oleh Agensi

JURGEN Klopp menyatakan ada kemungkinan untuk Liverpool meraikan kejayaan memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) menerusi perarakan di atas bas terbuka pada pertengahan musim depan.

Skuad bimbingannya menghampiri kejayaan untuk memenangi kejuaraan liga buat kali pertama selepas 30 tahun sebaik aksi liga bersambung 17 Jun ini.

Namun penyokong Liverpool tidak dapat meraikan kejayaan itu di Anfield kerana perlawanan akan berlangsung secara tertutup bagi menangani penularan pandemik Covid-19.

Malah penyokong juga tidak dibenarkan berkumpul di luar stadium ketika barisan pemain Liverpool turun beraksi.

Namun Klopp menegaskan mereka tetap akan meraikan kejayaan itu apabila penyokong dapat berkumpul dengan selamat.

"Apabila anda tidak dapat meraikan kejayaan seperti kebiasaannya ia sememangnya agak mengecewakan dan saya memahaminya.

"Saya juga merasai perasaan itu. Tidak mungkin saya akan meraikannya secara berseorangan di stadium dan kemudian memandu pulang ke rumah.

"Apabila segala-galanya kembali seperti biasa dan vaksin juga sudah ditemui, maka ketika itulah kita akan bersama-sama meraikannya.

"Jika terpaksa meraikannya pada pertengahan musim depan, siapa yang mampu menghalang kita?

"Malah jika orang lain mengatakan kita adalah gila, secara jujur saya tidak kisah mengenainya," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 11:21pm
d