arena

Rombak jadual demi Harimau Malaya

Oleh BERNAMA

KALENDAR bola sepak tempatan bakal dirombak bagi memastikan skuad Harimau Malaya mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan menghadapi Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 akhir tahun ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan pengurusan Liga Bola sepak Malaysia (MFL) untuk memastikan semua pertandingan termasuk Liga Premier dan Super serta Piala Malaysia dapat diselesaikan dalam jangka masa yang ditetapkan.

"Saya tahu ramai yang meluahkan kebimbangan sama ada pasukan kebangsaan akan mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF.

"Oleh itu, kami akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan semua pertandingan yang ditangguhkan sejak 16 Mac dapat diselesaikan sebelum November.

"Kami masih menunggu kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memulakan semula Liga Malaysia, September ini dan semoga dapat diadakan lebih awal untuk memberi masa yang cukup kepada Tan Cheng Hoe menyiapkan skuad terbaiknya untuk pertandingan itu," katanya.

Baru-baru ini, jurucakap AFF memaklumkan bahawa badan itu akan meneruskan kejohanan dwitahunan rantau ini walaupun berhadapan ancaman pandemik Covid-19 selepas mendapat maklum balas daripada semua anggota gabungannya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 11:40pm
d