arena

'Dua orang pun dah OK'

Oleh Aida Adilah Mat

BIARPUN hanya dua atlet karete yang akan melapor diri di kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, ia sudah cukup bermakna buat atlet S Prem Kumar.

Kebenaran untuk berlatih di MSN itu jauh lebih baik berbanding berlatih sendiri di rumah dalam keadaan serba kekurangan.

Dia dan pemenang pingat emas Sukan Sea 2019, R Sharmendran, adalah antara 14 atlet elit dan 26 atlet para yang akan melapor diri bagi mengikuti latihan berpusat di MSN, Bukit Jalil yang dijalankan menerusi kebenaran khas kerajaan.

Katanya, MSN meletakkan syarat hanya membenarkan dua atlet yang berada di bawah program RTT berlatih terlebih dahulu sebelum mengkaji kebenaran membenarkan rakan sepelatih yang lain turut serta.

"Kami perlu mengikut prosedur MSN. Buat ketika ini hanya dua orang iaitu saya dan Sharmendran. Jika semuanya berjalan lancar untuk tempoh sebulan ini mungkin MSN akan membenarkan untuk rakan sepelatih menyertai kami.

"Biarpun hanya kami dua orang tapi itu sudah cukup bagus berbanding berlatih di rumah sebab sukan tempur ini memerlukan rakan sepelatih dan barang keperluan yang lain," katanya.

Menurutnya, dia sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Malah Pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 yakin proses menaikkan berat badannya akan menjadi lebih mudah apabila berada di MSN.

"Pihak MSN akan menyediakan keperluan makanan yang lengkap untuk proses saya menaikkan berat badan.

"Buat masa ini saya sudah berjaya naikkan berat dua kilogram dan tiada masalah untuk menambahkan berat badan jika berada di MSN yang menyediakan keperluan makanan terbaik," katanya.

Prem perlu menaikkan berat badannya sebanyak 13 kilogram (kg) lagi bagi membolehkan dia beraksi dalam kategori bawah 67kg di kejohanan kelayakan ke Olimpik di Paris nanti.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 7:01am
d