arena

Bilik 'video game' terapi Aubameyang

Oleh Agensi

PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang berkongsi dengan peminat kehidupan di rumah mewahnya dalam episod terbaru rancangan televisyen, MTV Cribs dan paling mencuri tumpuan ialah bilik permainan video iaitu tempat kegemarannya.

Umum mengetahui bahawa Aubameyang memang sangat menyukai permainan video dan berhasrat untuk menubuhkan pasukan eSports.

Selain dapur moden, taman bunga, bilik permainan video antara lokasi yang banyak diceritakan pemain antarabangsa Gabon dalam rancangan televisyen berkenaan.

Setidak-tidaknya kisah mengenai kehidupannya di rumah mewah itu meredakan sedikit mengenai spekulasi masa depannya dengan kelab London itu dengan peminat boleh melihat sendiri apa kelengkapan lain di kediaman berkenaan.

Ketika rancangan televisyen berkenaan menunjukkan di sekitar kawasan rumahnya, Aubameyang mengambil kesempatan untuk menayangkan bilik permainan video yang canggih bagi menimbulkan perasaan iri hati buat semua 'gamers' di seluruh dunia.

Dia jelas sekali bangga dengan bilik berkenaan, yang turut menempat dua monitor profesional untuk membantunya menewaskan rakan sepasukan, Mesut Ozil dan Sead Kolasinac secara atas talian.

Aubameyang sebelum ini pernah beraksi mewakili McLaren pada perlumbaan virtual Grand Prix Formula Satu Monaco bulan lalu.

Selain bilik permainan video Aubameyang turut menunjukkan bilik permainan bersaiz besar anaknya, Curtys dan Pierre.

"Saya masih ingat ketika kecil, saya tidak berkesempatan memiliki bilik besar. Saya seorang bapa yang mahu memberikan yang terbaik buat mereka, jadi saya sediakan bilik yang besar," katanya sambil berseloroh bahawa kawasan berkenaan paling 'gila' dalam rumahnya.

Dia juga menunjukkan ruang dapur moden sambil memperkenalkan ibunya, Margarita yang ketika itu sedang berada di situ.

Akhir sekali ialah kawasan taman yang penuh dengan tanaman bunga dan kawasan rumput tempat dia bermain bola sepak bersama anak-anaknya.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 11:13am
d