arena

Pemain remaja China didenda tulis esei

Oleh AFP

ENAM pemain bola sepak China bawah 19 tahun (B-19) digantung beraksi selama enam bulan dan dipaksa menulis karangan mengkritik tabiat buruk diri sendiri selepas melanggar peraturan pencegahan Covid-19 apabila keluar minum pada lewat malam.

Persatuan Bolasepak China (CFA) menggantung keenam-enam pemain itu sehingga hujung November dan dijangka bakal mendapat hukuman tambahan daripada kelab mereka selepas didapati meninggalkan pengkalan latihan pasukan Shanghai pada 30 Mei tanpa kebenaran.

"Ini adalah kesalahan berat terhadap peraturan pencegahan wabak dan memberi kesan buruk kepada seluruh pasukan," kata CFA.

Kesemua pemain dilarang menyertai semua perlawanan dianjurkan CFA sehingga 30 November dan juga tidak dibenarkan mewakili pasukan kebangsaan mengikut semua peringkat umur.

Tiga pemain Ren Lihao, Liu Zhurun dan Peng Hao, digantung pendapatan oleh kelab mereka Shanghai SIPG, iaitu bekas juara Liga Super China.

Ketua jurulatih B-19, Cheng Yaodong berkata, kesemua pemain itu dimarahi dengan nada keras dan menggunakan kata-kata kesat.

Ketika pemain lain menjalani latihan, keenam-enam pemain itu disuruh menulis esei dan ada yang disuruh menulisnya sebanyak dua kali.

"Selepas selesai menulis, kami membantu mereka menyelesaikan dan mengenali kesalahan yang mereka buat," katanya.

Skuad B-19 akan beraksi dalam saingan divisyen tiga di China sebagai persiapan menjelang Olimpik Paris 2024, sebelum ia ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 2:01pm
d