arena

Melepas tengok Liverpool berentap di Malaysia

Oleh Syazwan Msar

PEMINAT Liverpool di negara ini sebenarnya terlepas peluang menyaksikan pemain bintang mereka beraksi di depan mata apabila pasukan terbabit sepatutnya menentang pilihan Malaysia pertengahan tahun ini namun terpaksa dibatalkan pada saat akhir.

Perkara terbabit didedahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengakui terdapat perancangan kelab bakal juara Liga Perdana Inggeris musim 2020 itu akan bertemu pilihan Malaysia dalam perlawanan persahabatan.

Namun, perlawanan terbabit terpaksa dibatalkan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sekali gus menyaksikan semua perlawanan bola sepak terpaksa dihentikan demi keselamatan semua pihak.

"Sebenarnya pasukan Liverpool akan bermain dengan kita (Malaysia) namun atas faktor Covid-19 tak jadi," katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan peminat bola sepak di Facebook FAM menerusi ruangan 'Anda Tanya, Presiden Jawab itu'.

Selain itu, Hamidin berkata, agak sukar untuk pihaknya menyusun perlawanan membabitkan Harimau Malaya menentang pasukan seperti Brazil, Argentina dan Sepanyol berikutan 'tidak sama taraf'.

"Untuk melawan pasukan yang bertaraf 10 ranking atas dunia, memang sukar kerana mereka akan bertanding yang sama taraf dengan mereka kerana pengiraan mata perlu dikira dan buat masa ini memang sukar," katanya.

Sementara itu, beliau juga menyatakan FAM tidak bercadang untuk mengambil jurulatih asing bagi menggantikan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berikutan prestasi yang ditunjukkannya ketika ini begitu baik.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 6:26pm
d