arena

Marquez boleh ditewaskan

Oleh Agensi

BEKAS juara dunia, Jorge Lorenzo mengakui Marc Marquez masih lagi pilihan utama untuk memenangi kejuaraan MotoGP musim ini.

Namun jelas Lorenzo, bintang Repsol Honda itu bukanlah seorang pelumba yang tidak boleh ditewaskan.

"Sememangnya Marquez adalah pelumba pilihan untuk memenangi kejuaraan musim ini kerana dia juara bertahan dan sudah memenangi enam kejuaraan dunia MotoGP.

"Tapi itu tidak bermakna dia tidak boleh ditewaskan. Saya pernah melakukannya pada 2015.

"Andrea Dovizioso juga hampir melakukannya pada 2017 ketika tidak ramai meletakkan harapan kepadanya. Malah muka baru, Fabio Quartararo berjaya memberi saingan kepada Marquez dalam kebanyakan perlumbaan pada tahun lalu.

"Ini bermakna, jika Marquez dan Honda berdepan isu atau masalah, pelumba dan pasukan pengeluar lain boleh menewaskannya," katanya yang bersara hujung tahun lalu.

Marquez dan Honda masing-masing berdepan masalah kecederaan bahu dan teknikal sejak hujung musim lalu.

Namun Lorenzo menegaskan, bukan tugas mudah untuk mengatasi Marquez pada musim ini.

"Tiada pelumba pernah memenangi perlumbaan pada musim pertama mereka dan kemudian muncul juara dunia sebanyak enam kali.

"Dia seorang pelumba yang sangat luar biasa dan mempunyai bakat semulajadi selain tidak takut berdepan insiden terjatuh.

"Namun seperti ahli sukan dunia yang lain, mereka juga mempunyai kelemahan dan ia bukan sahaja berkaitan pelumba tetapi juga jentera.

"Saya juga percaya masih ada pelumba berbakat di MotoGP. Ia adalah perlumbaan berprestij di dunia, jadi pastinya yang terbaik berlumba di kejohanan itu," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 9:46pm
d