arena

SOP ketat untuk kebaikan semua

Oleh Aida Adilah Mat

ATLET memanah negara, Khairul Anuar Mohamad mengakui teruja dapat kembali menjalani latihan di kem latihan pusat di Majlis Sukan Negara (MSN) biarpun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Dia yang hadir melapor diri pada hari pertama kem latihan di MSN di bawah Program Road To Tokyo hari ini berkata, apa yang penting ketika ini adalah kembali fokus kepada latihan selepas tiga bulan dipaksa berehat.

Pemenang pingat perak Kejohanan Dunia itu mengakui rindu untuk kembali berlatih seperti biasa selepas hanya membuat latihan fizikal dan panahan di rumah.

"Berhubung dengan SOP, bersedia atau tidak kita perlu fokus kepada latihan, SOP yang ketat ini adalah untuk kebaikan semua pihak.

"Buat ketika ini tiada jadual baru yang diberikan oleh jurulatih. Tapi kalau mengikut kebiasaannya kami akan 'shooting' dalam masa seminggu untuk mendapatkan balik rentak.

"Kemudian akan fokus kepada latihan jarak dekat sebelum memberi tumpuan kepada jarak sebenar," katanya.

Selain Khairul Anuar, turut melaporkan diri pada kem latihan pusat adalah Mohd Haziq Kamaruddin, Mohd Zarif Syahir dan Akmal Norhasrin.

Khairul Anuar melakarkan sejarah dalam sukan memanah negara apabila membawa pulang pingat perak di Kejohanan Dunia selain menempah tiket individu untuk Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 28 tahun yang bakal membuat penampilan ketiga berturut-turut di temasya terbesar selepas London dan Rio itu kini berusaha untuk memburu slot dalam acara pasukan.

Kini hanya ada satu lagi peluang buat atlet memanah negara melayakkan diri ke Olimpik iaitu dengan menyertai kejohanan kelayakan terakhir di Berlin, Jerman.

Fokus utama skuad memanah ketika ini untuk memburu tempat dalam acara berpasukan. Untuk layak ke Tokyo, trio negara perlu menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik di kejohanan itu.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 10:49pm
d