arena

McGregor lepas 'gian' main jet ski

Oleh Agensi

CONOR McGregor yang mengumumkan persaraannya pada Sabtu lalu melepaskan 'geram' dengan bermain jet ski buat kali pertama di perairan Ireland semalam.

McGregor, 31, mengejutkan peminat selepas bertindak meninggalkan UFC buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.

Bekas juara dua kategori berat itu mendedahkan dia bosan menunggu perlawanan dan mengakui MMA tidak lagi menggembirakannya.

McGregor tidak menunggu masa lama menikmati persaraannya apabila dia menghabiskan masa dengan bermain jet ski di perairan Dun Laoghaire yang terletak 12km dari Dublin.

Masa depan McGregor dalam sukan itu tidak dapat dipastikan tetapi langkah pusingan U oleh atlet itu tak mustahil boleh berlaku seperti sebelum ini.

McGregor tak pernah menang di UFC sejak tiga tahun lalu sebelum menewaskan Donald Cerrone pada Januari dan mahu beraksi dua pertarungan lagi tahun ini.

Bagaimanapun, pandemik koronavirus menjejaskan perancangan dan momentum McGregor dan memaksa dia mengambil keputusan menamatkan kariernya.

McGregor berkata: "Saya mempunyai cita-cita, perancangan dan semuanya telah diatur. Tapi apa yang berlaku di seluruh dunia memusnahkannya dalam tempoh singkat."

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 8:33am
d