arena

Anas tak sabar tendang bola

Oleh Malik Muhamad

PERTAHANAN tengah Terengganu FC (TFC), Nasrullah Haniff Johan syukur dan lega apabila tempoh `berkurung' hampir tiga bulan berakhir selepas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) dibenarkan memulakan latihan bermula 15 Jun ini.

Bagaimanapun, pemain kelahiran Kedah yang kini menetap di Negeri Sembilan itu meletakkan harapan tinggi agar saingan Liga M yang dicadangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada September ini dapat dilangsungkan lebih awal.

Namun dia yang lebih mesra dipanggil Anas tidak mahu mengambil risiko ketika negara masih lagi berdepan penularan wabak pandemik Covid-19, sebaliknya menyerahkan keputusan itu kepada badan induk bola sepak negara untuk memutuskannya.

"Sebaik mengetahui pemain boleh mula berlatih di padang semalam, saya begitu lega dan gembira kerana sudah terlalu lama tidak menendang bola sejak liga tertangguh pada 16 Mac.

"Pada masa sama juga jurulatih sudah memaklumkan dan meminta kami bersedia memulakan latihan pada 15 Jun ini, situasi ini sudah tentu perkembangan yang positif buat sukan nombor satu itu untuk kembali beroperasi seperti sebelum ini.

"Namun besar harapan kami agar saingan liga dapat disambung selewat-lewatnya pada September atau lebih awal kerana kami sudah tidak sabar untuk beraksi selepas sekian lama `memanaskan bangku simpanan' di rumah," ujarnya.

Semalam Reezal Merican mengumumkan semua pasukan Liga M dibenarkan menjalani latihan di padang bermula 15 Jun ini, namun bersyarat iaitu perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 2:59pm
d