arena

'Terima kasih KBS'

Oleh Aida Adilah Mat

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) menyambut baik pengumuman daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berhubung kebenaran menjalani latihan persediaan sukan berpasukan termasuk hoki dijalankan semula dengan syarat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan bermula 15 Jun ini.

Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua yang terbabit membenarkan sukan itu untuk kembali semua menjalani latihan.

Katanya, ia adalah khabar gembira buat seluruh warga sukan hoki di Malaysia yang sudah hampir tiga bulan terpaksa menghentikan segala aktiviti di semua peringkat sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerajaan bermula 18 Mac 2020 lalu.

"Terima kasih kepada kerajaan yang akhirnya memberi kebenaran untuk warga hoki kembali menjalani latihan.

"Kami di pihak MHC akan mengadakan perbincangan dalaman untuk menentukan langkah seterusnya bagi menggerakkan perancangan memanggil pemain ke kem latihan pusat skuad kebangsaan.

"SOP kembali ke latihan pusat akan dibincangkan dalam masa terdekat ini dan pastinya akan diselaraskan mengikut garis panduan baharu Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan kelancaran operasinya apabila kebenaran diberikan kerajaan bermula 15 Jun," katanya.

Mengulas lanjut, Subahan berkata, bagi aktiviti hoki secara sosial dan riadah, MHC akan mengeluarkan satu garis panduan cadangan untuk diikuti oleh semua yang terbabit bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua agar tidak terdedah kepada kemungkinan terjadinya penularan semula pandemik Covid-19 ini.

MHC turut berharap agar semua pihak yang terbabit dalam sukan hoki dapat bersama mengekalkan disiplin diri mengikut segala SOP serta ketetapan yang dibuat agar kelonggaran yang diberikan kerajaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan juga kelangsungan sukan hoki di negara ini.

"MHC akan memberikan maklumat terkini kepada seluruh warga hoki dari semasa ke semasa supaya kita sama-sama dapat terus kekal sihat menjalankan aktiviti isepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 6:31pm
d