arena

Jawatan Presiden KFA sah kosong

Oleh Izzali Ismail

PERSOALAN mengenai status jawatan kepimpinan tertinggi Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terjawab apabila KFA mengesahkan kekosongan jawatan Presiden, Naib Presiden 1 dan Setiausaha Kehormat hari ini.

Pengumuman itu dilakukan selepas ahli eksekutif yang mengadakan Mesyuarat Eksekutif KFA hari ini bersetuju untuk menerima surat perletakan jawatan penyandang sebelum ini.

Melalui maklumat media yang dikeluarkan oleh KFA, Timbalan Presiden Datuk Abdul Rahman Abdullah berkata, KFA sudah menerima makluman awal berkaitan surat peletakan jawatan daripada Presiden Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Naib Presiden 1, Anas Hafiz Mustaffa dan Setiausaha Kehormat, Asmirul Anuar Aris.

"Ahli mesyuarat eksekutif KFA bersetuju untuk menerima permohonan perletakan jawatan-jawatan itu.

"KFA juga sebulat suara meneruskan proses seterusnya iaitu dengan mengikut statut persatuan bagi mengisi jawatan yang dikosongkan itu untuk melancarkan pentadbiran KFA dalam melaksanakan tanggungjawab menyelesaikan beberapa isu berbangkit," katanya.

Abdul Rahman juga berkata pemilihan bagi calon untuk jawatan-jawatan berkenaan akan dilakukan selepas ini dan notis berkaitan perkara itu akan dikeluarkan kepada ahli gabungan KFA dalam masa terdekat.

"KFA akan mengeluarkan notis segera kepada ahli gabungan untuk mencadangkan calon bagi kekosongan jawatan berkenaan dan pihak pengurusan akan melaksanakan satu Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) menurut tatacara dan jangkamasa yang telah ditetapkan oleh statut KFA.

"Pihak pengurusan juga memandang serius berkenaan isu kebajikan pasukan dan komited untuk melangsaikan tanggungan semasa melalui beberapa kaedah yang sesuai dengan kedudukan kewangan persatuan.

"Ahli Mesyuarat Eksekutif KFA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih buat ketiga-tiga mantan Presiden, Naib Presiden 1 dan Setiausaha Kehormat di atas segala sumbangan dalam menaikkan imej pasukan bola sepak Kedah sejak musim 2018.

"Untuk rekod, musim 2019 menyaksikan kebangkitan pasukan Liga Super Kedah dengan menggondol Kejuaraan Piala FA dan Naib Juara Piala Malaysia," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 9:08pm
d