arena

Sukan renang perlu diteliti lagi

Oleh Aida Adilah Mat

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyedari akan keresahan yang dirasai oleh mereka yang terbabit dalam industri sukan renang kerana ia masih lagi dalam senarai sukan yang dilarang untuk dijalankan seperti biasa.

Reezal berkata, beliau sebelum ini turut membawa permohonan sukan itu untuk mendapat pelepasan sama seperti sukan yang lain pada fasa kedua pembukaan sektor sukan dan rekreasi namun diarahkan untuk melakukan penelitian tambahan.

Untuk itu, Reezal mengadakan perjumpaan bersama dengan Setiausaha Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) Asum, Mae Chen untuk melihat secara terperinci prosedur operasi standard (SOP) yang bersesuaian untuk membawa semula ke mesyuarat bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang akan datang.

"Sukan renang ini skopnya luas. Jadi penelitian tambahan perlu dilakukan untuk lihat secara terperinci SOP yang bersesuaian.

"Mae Chen sudah pun maklumkan bahawa mereka sudah membuat penelitian terhadap beberapa perkara dan kategori serta langkah yang perlu di peringkat mereka.

"Jadi saya sudah mengarahkan MSN, jabatan belia dan sukan, bersama ASUM untuk membincangkan libat urus bersama mereka yang terbabit dalam industri sukan renang seperti pemilik akademi, kelas renang dan sebagainya bagi mendapatkan pandangan dan aspek yang ditekankan oleh KKM dan MKN," katanya.

Katanya, semua perlu mengikut arahan dari MKN dan KKM kerana negara masih lagi dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang masih lagi berkuat kuasa.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 10:56pm
d