arena

Kelab Liga Perdana rugi RM3.26 bilion

Oleh AFP

KELAB-kelab Liga Perdana mengalami kerugian £600 juta (RM3.26 bilion) untuk musim 2018/19 sebelum pandemik koronavirus menjejaskan aktiviti bola sepak di seluruh dunia, menurut laporan hari ini.

Analisis daripada pakar kewangan bola sepak, Vysyble menunjukkan 20 kelab utama liga Inggeris mengalami kerugian besar di sebalik mencatatkan peningkatan pendapatan kepada £5.15 bilion (RM27.99 bilion).

Impak kewangan angkara Covid-19 dijangka memberikan kesan besar ke atas Liga Perdana walaupun penganjuran baki perlawanan dalam stadium kosong berjaya dilaksanakan musim ini.

Kelab Liga Perdana perlu membayar £330j (RM1.79 bilion) kepada stesen penyiar dalam bentuk rebat selepas perlawanan tidak dapat dilengkapkan mengikut jadual selain kerugian £126j (RM685 juta) menerusi pendapatan pada hari perlawanan.

"Covid-19 bukanlah punca masalah krisis kewangan. Ia hanyalah penyumbang kepada data kami yang boleh menjadi masalah jangka panjang," kata Pengarah Vysyble, Roger Bell.

Kos gaji Liga Perdana pula meningkat kepada £3.12 bilion (RM16.95b).

Everton mencatat kerugian £111 juta (RM603j) manakala kegagalan Chelsea mara ke Liga Juara-Juara menyebabkan mereka kerugian £96 juta (RM521j).

Bagaimanapun, kerugian paling besar dialami ialah Tottenham yang sebelum ini mencatat keuntungan £68.6 juta (RM372.84j) selepas mara ke final Liga Juara-Juara.

Tetapi kelab London itu mengumumkan minggu lalu mereka terpaksa meminjam £175 juta (RM951j) dari Bank of England selepas bimbang kemungkinan rugi £200j (RM1.086b) tahun depan akibat kehilangan pendapatan hari perlawanan, pembatalan acara bukan bola sepak seperti aksi NFL dan rebat kepada stesen penyiar.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 9:02am
d