arena

Tak ramai pemain sehebat Faizal, Fitri

Oleh Saiful Affendy Sapran

PENGURUSAN skuad hoki lelaki negara perlu memikirkan semula keputusan menggugurkan dua pemain prolifik negara yang juga pasangan adik beradik, Faizal dan Fitri Saari.

Bekas penolong jurulatih skuad negara, Lim Chiow Chuan berkata, kedua-dua pemain itu sudah terbukti memainkan peranan penting membantu skuad negara selama ini.

"Kita di Malaysia tidak mempunyai kumpulan pemain yang ramai sehebat Faizal dan Fitri, tidak seperti negara lain yang mungkin ada ramai pemain hebat.

"Saya tidak fikir ada mana-mana pemain dalam skuad negara ketika ini mampu menyamai prestasi seperti Faizal dan Fitri. Sebab itu saya berharap pengurusan skuad kebangsaan memikirkan semula keputusan menggugurkan mereka berdua.

"Untuk membentuk pemain baru sehebat Faizal dan Fitri akan memakan masa agak lama. Jadi sepanjang tempoh mendapatkan pemain setanding mereka berdua, sudah pasti ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada skuad negara," katanya.

Jelas Chiow Chuan, beliau tidak berniat mengkritik atau mencampuri urusan skuad negara, namun sekadar memberi pandangan agar Malaysian Tigers terus berada di landasan tepat.

"Bagi saya, ketiadaan Faizal dan Fitri akan memberi kesan besar kepada skuad negara. Pengalaman yang diraih mereka berdua selama bersama skuad kebangsaan sebelum ini amat berharga.

"Faizal sebagai contohnya adalah pemain yang satu ketika dahulu mungkin mempunyai masalah disiplin tetapi dia semakin matang. Pemain yang bagus biasanya mempunyai karakter yang berlainan dan jurulatih harus bijak membentuk pemain seperti ini," katanya.

Ketua jurulatih, Roelant Oltmans pada Februari lalu mengambil keputusan menggugurkan beberapa nama besar dalam kem latihan skuad kebangsaan termasuk Faizal dan Fitri selain kapten negara, Mohamad Sukri Abd Mutalib.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 2:34pm
d