arena

Boling tunggu lampu hijau KBS

Oleh BERNAMA

KONGRES Tenpin Boling Malaysia (MTBC) sedang menunggu 'lampu hijau' daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memulakan latihan pasukan kebangsaan dengan penuh sabar.

Boling dan badminton adalah antara sukan tidak bersentuhan dan sukan tertutup yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula hari ini hingga 31 Ogos, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Ahad.

Gelanggang boling boleh mula beroperasi bermula 15 Jun ini, bagi membolehkan orang ramai meneruskan aktiviti hobi mereka, tetapi pemain boling kebangsaan masih perlu menunggu panduan terperinci dan prosedur operasi standard (SOP) daripada KBS sebelum meneruskan latihan di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway.

Namun, Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata selepas menunggu dengan sabar selama hampir tiga bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, pihaknya tidak ada masalah untuk menunggu lebih lama bagi tujuan keselamatan.

"Kami dengan sabar akan menunggu lampu hijau kerana kami tahu KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) berusaha keras untuk membawa kembali sukan ke landasan yang betul malah kami sangat menghargai usaha mereka.

"Keutamaan akan tetap diberikan terhadap keselamatan atlet dan jurulatih kami. Sebilangan atlet kami berada di kampung halaman masing-masing, tetapi pasti mereka tidak sabar untuk memasuki gelanggang," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Maradona berkata belum ada keputusan yang dibuat mengenai penganjuran Kejohanan Terbuka Malaysia ke-41 yang dijadual berlangsung pada 22 hingga 28 November ini, selepas ditunda dari jadual asal Mac lalu.

Walaupun kerajaan membenarkan latihan beberapa sukan diadakan, tidak ada pertandingan yang dibenarkan sepanjang tempoh PKPP.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 5:38pm
d