arena

Bukti dahulu kerakyatan

Oleh Firdaus Hashim

LAHIR di Kuching, Sarawak bukan tiket automatik buat calon baharu warisan Harimau Malaya, Samuel Bone untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya sebaliknya perlu membuktikan status kerakyatannya terlebih dulu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi, berdasarkan kes sebelum ini terdapat pemain luar yang keliru apabila mendakwa mempunyai hubungan dengan Malaysia selepas lahir di sini.

Jelasnya, seseorang itu perlu didaftarkan sebagai rakyat Malaysia sebaik dilahirkan di negara ini seperti mana yang terdapat dalam undang-undang negara.

Namun ada juga yang memilih untuk didaftarkan sebagai rakyat asal ibu bapa mereka menerusi pejabat kedutaan masing-masing.

"Sebelum ini pernah ada seorang jurulatih asing yang melatih pasukan dalam Liga Malaysia mendakwa anaknya lahir di sini dan katanya boleh main untuk Malaysia. Tapi bila kita selidik, rupanya tak boleh kerana anaknya didaftarkan di kedutaan negara asal bapanya. Memang dia dapat surat beranak di hospital sini, tapi kalau disebabkan tak daftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) maka dia bukan rakyat kita.

"Jadi dalam isu ini kalau nak main untuk Malaysia tak boleh atas tiket pemain warisan sebab dia dan ibu bapanya bukan orang Malaysia. Kalau nak main juga kena tinggal dan main di sini hingga lima tahun," katanya.

"Begitu juga dengan Samuel, itupun kalau dia boleh buktikan status kerakyatannya. Jika betul rakyat kita, tak ada masalah untuk dia sertai pasukan tetapi perlu mengharungi penilaian untuk melihat kualitinya terlebih dulu," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Semalam, akhbar ini mendedahkan hasrat Samuel yang juga anak kepada bekas tonggak import Sarawak, Billy Bone untuk mewakili skuad negara di pentas antarabangsa.

Samuel, 22, yang lahir pada tanggal 6 Februari 1998 di Kuching, Sarawak kini beraksi di Liga Ireland bersama kelab Waterford FC sebagai pemain pertahanan kanan.

"Saya akan minta pegawai kita di FAM untuk berhubung dulu dengan pemain ini bagi kita menentukan kesahihan dia ataupun dari segi kelayakannya untuk mewakili Malaysia sama ada boleh ke atau tidak.

"Selepas itu baru kita akan melihat kepada peringkat seterusnya iaitu menilai kemampuan dan kualitinya. Selalu saya sebut, pemain warisan atau naturalisasi yang kita ambil mesti lebih baik daripada pemain tempatan.

"Kalau biasa-biasa saja, buat apa kita nak ambil lebih baik kita beri kepada pemain tempatan saja. Pakar bahagian teknikal akan melihat keupayaannya nanti," katanya.

Sebelum ini, kem negara turut mempertimbangkan keinginan seorang lagi pemain warisan dari Republik Congo, Marcel Kalonda yang kini sedang berusaha menyiapkan dokumentasi mengenai pertalian hubungan selepas mendakwa datuknya berasal dari Sabah.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 6:00am
d