arena

Griezmann tak sabar amuk kubu lawan

Oleh Agensi

BINTANG Barcelona, Antoine Griezmann berkata, dia tidak sabar menunggu penyambungan semula aksi La Liga selepas mendapat tempoh rehat terbaik dalam masa lima tahun susulan pandemik koronavirus.

Bola sepak di Sepanyol yang digantung sejak Mac lalu kembali membuka tirai dengan aksi Segunda menyaksikan Rayo Vallecano menewaskan Albacete 1-0 awal pagi tadi manakala saingan La Liga pula membabitkan aksi 'derby' Sevilla menentang Real Betis malam ini.

Pendahulu, Barca memulakan kempen mereka dengan menerima kunjungan Real Mallorca di Nou Camp, Sabtu ini dan pemain antarabangsa Perancis, Griezmann bagaikan tidak sabar masuk ke padang.

Skuad Quique Setien berada dua mata di hadapan Real Madrid dengan baki 11 perlawanan.

"Saya fikir pada tahap peribadi ia bagus untuk saya," kata Griezmann kepada Barca TV.

"Saya dapat berehat malah tempoh rehat terbaik bagi saya sejak lima tahun lalu. Jadi dari segi mental dan fizikal ia sangat bagus. Saya dapat nikmati lebih masa bersama keluarga dan sekarang saya sedia ke padang semula.

"Kami sangat teruja, sudah lama sejak kali terakhir beraksi perlawanan rasmi. Saya fikir kami telah pun bersedia untuk aksi pertama dan sangat penting mendapatkan permulaan yang baik dengan baki 11 perlawanan.

"Jika kami menang kesemuanya, kami akan juara. Saya fikir kami bersedia untuk itu, menang dan nikmati perlawanan.

"Bundesliga memberi saya bayangan. Foto penyokong mereka, raikan jaringan tanpa berpelukan, semunya nampak pelik tetapi paling penting bola sepak kembali semula.

"Kami juga terasa janggal [berlatih di Camp Nou] tanpa penonton atau apa sahaja tetapi kami perlu menyesuaikan diri dengan atmosfera itu.

"Sangat menarik dapat beraksi semula di Camp Nou tetapi lebih baik beraksi dalam perlawanan rasmi."

Tempoh rehat yang panjang membolehkan Luis Suarez pulih kecederaan lutut manakala Lionel Messi dijangka cergas berdepan Mallorca selepas mengalami kekejangan otot paha ketika sesi latihan.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 9:15am
d