arena

Arsenal mahu Thiago Silva ganti Luiz

Oleh Agensi

ARSENAL sedia menimbang untuk mendapatkan legenda Paris Saint-Germain, Thiago Silva menerusi perpindahan percuma pada musim panas, menurut laporan hari ini.

Difahamkan lima kelab Liga Perdana turut berminat mendapatkan khidmat pertahanan tengah veteran itu yang bakal dilepaskan penghujung musim ini.

Menurut akhbar portal, Gunners bakal berdepan saingan Everton, Wolves, Newcastle dan West Ham selain kelab di negaranya, Brazil, MLS, China, Jepun atau Qatar yang mahu mendapatkan tandatangannya.

Malah, Arsenal dikatakan mahu membawa masuk Silva, 35, menggantikan rakan senegara, David Luiz yang berdepan kemelut masa depan dan berpotensi berpindah ke Benfica.

Sumber berkata: "Thiago diberi peluang memilih kelab yang bakal ditujunya selepas ini. Peluang mendapatkan bintang seperti Thiago di sebalik umurnya sukar dilepaskan dan minat ditunjukkan kelab Liga Perdana semakin bertambah."

Mikel Arteta mahu merekrut seorang lagi pertahanan tengah apabila jendela perpindahan pemain dibuka.

Dayot Upamecano, Samuel Umititi dan Daniele Rugani antara nama yang dikaitkan manakala William Saliba akan kembali ke Emirates selepas dipinjamkan ke Saint-Etienne dan Pablo Mari mungkin terbabit dengan pertukaran kekal.

Bagaimanapun, pertahanan tengah itu turut mengakui pernah meluahkan hasrat sebelum ini mahu kembali ke AC Milan.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 10:58am
d