arena

Jelajah Adria ubati rindu peminat tenis

Oleh AFP

SELEPAS tiga bulan digantung susulan pandemik koronavirus, pemain tenis terbaik dunia kembali bersaing di Belgrade hujung minggu ini apabila menyertai kejohanan kebajikan anjuran pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic dengan disaksikan penonton.

Jelajah Adria bakal berlangsung sehingga 5 Julai di Serbia, Croatia, Montenegro dan Bosnia.

Dalam kejohanan pertama pada Sabtu dan Ahad ini, bintang Serbia itu akan disertai pemain nombor tiga dunia, Dominic Thiem.

Pemain Jerman, Alexander Zverev dan pemain Bulgaria, Grigor Dimitrov yang masing-masing menduduki ranking ke-7 dan 19 juga turut mengambil bahagian.

Jelajah ATP dan WTA ditangguh sejak Mac lalu susulan pandemik dan tidak akan berlangsung sekurang-kurangnya sehingga penghujung Julai.

Terbuka Perancis ditunda sehingga September dan Wimbledon dibatalkan buat kali pertama sejak Perang Dunia Kedua.

Empat bintang tenis terbabit beraksi dalam perlawanan yang membenarkan kehadiran penonton sehingga 1,000 orang dengan Pusat Tenis Novak yang dibiayai keluarga Djokovic menjadi gelanggang tumpuan.

Tiket habis dijual dalam tempoh tujuh minit selepas dibuka dalam talian kelmarin.

Perlawanan bakal disiarkan secara langsung di lebih 1000 negara, menurut pengarahnya, Djordje Djokovic iaitu adik kepada Novak.

"Setiap penonton akan mendapat pelitup muka di pintu masuk dan cecair pencegah kuman diletakkan di seluruh kompleks," kata Djordje Djokovic.

Juga gelanggang utama akan dinyahkuman setiap kali selepas perlawanan.

Bagaimanapun, dua superstar Roger Federer terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan lutut dan Rafael Nadal yang baharu sahaja berlatih tidak mengambil bahagian.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 2:05pm
d