arena

Hutang Kafa meningkat RM5 juta

Oleh Syazwan Msar

SITUASI semakin tenat buat Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) yang menerima satu lagi perkhabaran buruk selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) mengarahkan pembayaran tunggakan gaji seorang lagi pemain importnya Alaeddine Bouslimi berjumlah RM157,380.

Situasi berkenaan menjadikan tuntutan terhadap Kafa setakat ini hampir mencecah RM1 juta selepas badan induk bola sepak negeri itu turut diarahkan membayar bekas pemain importnya Francisco Cassio de Jesus dan Bruno Lopez masing-masing berjumlah RM629,620.28 dan RM141,103.60.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kafa, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, situasi semakin meruncing itu menyaksikan Kafa kini menanggung keseluruhan hutang mencecah RM5 juta. Beliau berkata, hutang berkenaan termasuklah lapan kes berkaitan tuntutan bekas pemain import dan jurulatih di Fifa dengan tiga daripada sudah dimaklumkan keputusan kepada KAFA. "KAFA dua hari lalu menerima surat terkini daripada Fifa yang mengarahkan membayar pemain import ketiga berjumlah 37,000 USD (RM 157,380) membabitkan Alaeddine yang kontraknya tamat 2018.

"Kita jangka ada lagi kes pemain import daripada Fifa dengan keseluruhannya membabitkan lapan kes setakat ini. Kafa akan berunding dengan semua bekas pemain import terbabit bagi mendapatkan persetujuan bersama," katanya, di sini.

Sementara itu, jumlah kutipan tabung selamatkan Kelantan berjumlah RM25,000 dan inisiatif ini akan diteruskan sehingga Ogos depan.

"Kafa masih belum angkat bendera putih dan tetap akan berusaha sehingga keringat akhir. Adakah kita mampu mengatasinya pada 2020 seperti kita selesai masalah tahun lalu? Kami hanya mampu berusaha, selebihnya berserah pada tuhan," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 2:26pm
d