arena

Untung la Salah belanja petrol

Oleh Agensi

MO Salah menyerlahkan reputasi sebagai salah seorang pemain bola sepak yang baik hati ketika ini selepas dia tampil di sebuah stesen minyak dan membayar minyak petrol semua orang yang berada di stesen berkenaan.

Penyerang Mesir dikagumi peminat dalam saingan Liga Perdana sejak kembali ke England pada 2017, meledak 91 gol dalam 144 perlawanan buat Liverpool dan dua kali memenangi anugerah kasut emas liga berkenaan.

Di luar padang, bekas pemain Chelsea itu menerima pelbagai pujian daripada peminat dan sekali lagi dia dikagumi.

Pada Rabu, gambarnya dirakamkan di stesen minyak Sainsbury berpakaian latihan lengkap dan dia dikatakan membayarkan petrol kenderaan yang diisi semua orang.

Peminat memuji tindakan pemain berusia 27 tahun itu dengan salah seorangnya berkata, "Bagaimana saya boleh menyayanginya lebih, sangat rendah diri," tambah seorang lagi, "Suka pada raja Mesir itu."

Ada di antaranya kecewa kerana tidak berkesempatan bertemu dengan hero mereka.

Menerusi Twitter ada di antara peminat yang berharap mereka dapat mengisi petrol percuma suatu hari.

"Saya tak percaya saya juga berada di sana hari ini, tapi malangnya saya tidak berpeluang mengisi diesel yang dibayar itu.

Ada juga dikalangan peminat yang bimbang akan kesihatan pemain itu ketika stesen berkenaan turut mengamalkan langkah pencegahan pandemik Covid-19.

Salah dan rakan sepasukannya mungkin hanya mempunyai 10 hari lagi untuk mengesahkan kejuaraan pertama Reds selepas 30 tahun dan mungkin dapat mengesahkannya ketika berdepan musuh setempat, Everton.

Bagi memastikan ia berlaku Manchester City harus kalah kepada Arsenal di gelanggang sendiri Rabu depan dan Ahad berikutnya skuad kendalian Jurgen Klopp berdepan the Toffees di Goodison Park.

Sekalipun City menang pada perlawanan kedua mereka, Reds hanya memerlukan enam mata lagi untuk ditabalkan juara, mereka memerlukan lebih sokongan untuk mencetus inspirasi kepada kejayaan mereka.

Disiarkan pada: June 11, 2020 @ 11:58pm
d