arena

Gaji Van Dijk paling mahal, atasi Salah

Oleh Agensi

VIRGIL Van Dijk bakal muncul pemain menerima gaji paling tinggi dalam sejarah Liverpool dengan kontrak baharu yang menyaksikannya meraih pendapatan £220,000 (RM1.18 juta) seminggu.

Pertahanan Belanda berusia 28 tahun itu akan memenuhi komitmen kontrak selama lima tahun bernilai £57 juta (RM306 juta) sebaik sahaja skuad bimbingan Jurgen Klopp mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Ia sekali gus menamatkan khabar angin pemain terbaik tahunan PFA itu akan berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG).

Van Dijk ketika ini meraih pendapatan £180,000 (RM967,000) seminggu dan mungkin akan meraih tambahan £100,000 (RM537,000) lagi sekiranya berhijrah ke PSG.

Bagaimanapun Van Dijk dikatakan sedia menerima tambahan gaji £40,000 (RM215,000) seminggu yang akan menyaksikannya mengatasi penerima gaji tertinggi ketika ini, Mohamed Salah.

Sensasi Mesir itu meraih pendapatan £200,000 (RM1.07 juta) seminggu.

Van Dijk yang tiba dari Southampton dengan nilai perpindahan £75 juta (RM403 juta) pada Januari 2018, akan menandatangani kontrak baharu sehingga musim 2024-25.

Klopp sedar beliau berdepan musim perpindahan yang sibuk dengan Liverpool juga mahu mengekalkan Sadio Mane dengan tawaran setanding Van Dijk.

Mane yang mempunyai kontrak sehingga 2023, tidak perlu terburu-buru menyambung atau menerima tawaran tambahan gaji £2 juta (RM10.7 juta) setahun sejak November tahun lalu kerana Real Madrid dan PSG turut berminat terhadapnya.

Klopp juga mahu mengekalkan Gini Wijnaldum yang masih mempunyai kontrak setahun lagi.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 9:09am
d