arena

Rashford tak lupa asal usul

Oleh Agensi

BINTANG Manchester United, Marcus Rashford pernah berdepan rasa susah ketika zaman kanak-kanak sehingga terpaksa mengharap makanan percuma di sekolah.

Dengan ibunya, Melaine bekerja sepanjang masa, Rashford bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan di sekolah dan semua kesusahan itu masih diingati oleh pemain yang dilabel antara terbaik di dunia itu ketika ini.

Ketika pandemik Covid-19 mencetuskan resah di seluruh dunia termasuklah sekolah terpaksa di tutup dan banyak individu kehilangan pekerjaan, pemain berusia 22 tahun itu tidak pernah melupakan asal usulnya.

Rashford yang dibesarkan di sebuah ladang di Wythenshawe Manchester, sedar bahawa kanak-kanak daripada latar belakang yang miskin akan berasa lapar tanpa pemberian makanan percuma di sekolah kepada mereka.

"Saya sentiasa berkata jika saya berada di pihak yang mampu melakukan perubahan, saya akan melakukannya," katanya.

Rashford mengambil kesempatan daripada populariti dirinya dengan menunjukkan kepada 8.4 juta pengikutnya di Instagram bagaimana dia melakukan kerja-kerja amal yang dinamakan FareShare.

Ia adalah kerja amal mengagihkan makanana percuma kepada kanak-kanak di sekolah, pusat komuniti dan kelab yang memerlukan bantuan makanan.

Rashford meminta bantuan derma dan mengharapkan syarikat makanan mendermakan produk mereka.

"Kanak-kanak tidak seharusnya berasa bimbang mengenai apakah sumber makanan seterusnya untuk mereka," katanya.

Sehingga kini, inisiatif FareShare berjaya mengumpul dana sehingga £20 juta (RM107 juta) dan ia digunakan untuk memberi bantuan kepada hampir tiga juta kanak-kanak di seluruh Britain.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 1:24pm
d