arena

Covid-19 bunuh momentum Kisona

Oleh Ferzalfie Fauzi

JIKA ditanya pemain perseorangan badminton wanita negara, S Kisona siapa musuh nombor satunya ketika ini, jawapannya bukan Gregoria Mariska Tunjung (Indonesia), Nitchaon Jindapol (Thailand) atau Aya Ohori (Jepun) tapi sudah pasti Covid-19.

Pandemik berkenaan seakan membunuh momentumnya selepas beraksi cemerlang pada hujung 2019 dan awal 2020 dalam dua kejohanan terbesar peringkat Asia.

Menurut pemain berusia 20 tahun itu, Covid-19 hadir sebagai musuh yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila kerana mengganggunya untuk memperbaiki ranking dengan lebih cepat tahun ini.

Pemain kelahiran Negeri Sembilan itu berkata, apa yang terjadi sekarang sudah terjadi dan dia perlu cepat menerima ketentuan.

Disember lalu, Kisona menggegarkan rantau Asia Tenggara dengan meraih emas Sukan Sea Filipina acara perseorangan wanita, sebelum beraksi cemerlang di Kejohanan Berpasukan Asia dengan membantu Malaysia layak ke Piala Uber secara merit.

Sekarang Kisona boleh berasa sedikit lega kerana mampu menyambung semula latihan seperti biasa apabila dipilih menjadi rakan sepelatih kepada pemain program Road to Tokyo (RTT).

"Memang gembira dapat sambung semula latihan. Dari segi persekitaran dan kesesuaian berlatih di gelanggang tidak banyak lari cuma pergerakan belum cukup sempurna.

"Jadi selepas ini saya boleh meneruskan misi untuk memperbaiki ranking. Seterusnya dapat beraksi di kejohanan antarabangsa bertaraf lebih tinggi," katanya yang sekarang ini menghuni ranking ke-92 dunia.

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 5:33pm
d