arena

Shevon dapat lampu hijau sertai RTT

Oleh Ferzalfie Fauzi

KEM badminton negara mendapat khabar gembira apabila pemain beregu campuran, Shevon Lai bersedia untuk melapor diri ke kem latihan Road To Tokyo (RTT) Ahad ini. Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain berusia 27 tahun itu akan menjalani ujian calitan tekak atau 'swab test' terlebih dulu.

Dia yang bergandingan bersama Goh Soon Huat selepas itu akan melakukan kuarantin secara sukarela di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara.

Selepas itu barulah dia dibenarkan untuk memulakan latihan di gelanggang selepas bebas ujian Covid-19 fasa pertama.

Bulan lalu Arena Metro melaporkan pemain berkenaan tidak dapat melapor diri pada 1 Jun lalu selepas menerima rawatan di hospital kerana menghidap demam denggi.

Shevon dan Soon Huat, masih berpeluang layak ke Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Gandingan ranking ke-11 dunia itu mampu layak ke temasya berkenaan jika berada di kelompok lapan terbaik bersama Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di kedudukan kelayakan Olimpik.

Mereka juga boleh mara jika mampu memintas Peng Soon-Liu Ying seterusnya menjadi pasangan nombor satu negara tanpa perlu memikirkan kedudukan lapan terbaik.

Berdasarkan pungutan mata Olimpik Soon Huat-Shevon mengumpul 56,792 mata (ke-11), manakala Peng Soon-Liu Ying memperoleh 63,560 mata (ketujuh).

Disiarkan pada: June 12, 2020 @ 8:21pm
d